Hero

“Woi!!!! Diam lah.” Entah suara siapa yang datang dari bilik sebelah menyuruh Fatimah diam. Marissa dan Fatimah tidak dapat mengagak suara siapa yang menegur tadi. Kegalakan mereka ketawa yang agak kuat mungkin mengganggu rehat penghuni dorm lain di hujung minggu. Marissa menutup mulut sambil menahan tawanya. Marissa tidak dapat menahan tawanya melihat lawak yang dibuat oleh Fatimah. Fatimah menyanyi lagu Siti Sarah sambil membuat mimik muka dan meniru aksi penyanyi yang terkenal dengan lagu Semakin.

“Sudahlah Tim. Aku rasa kau jangan nyanyi lagi.” Marissa mengesat airmata dengan tangannya. Kelucuan aksi Fatimah tadi menyebabkan airmata Marissa mengalir. Bukan sedih. Tetapi disebabkan terlampau kelakar sehingga menyebabkan Marissa menangis kelucuan.

“Ala, bukan selalu pun aku buat konsert. Orang bilik sebelah tu kalau bawa geng, lepas tu, berkampung tak ingat dunia, ada kita kisah”. Fatimah mencebik tanda tidak puas hati. Tangannya mengambil bantal busuk lalu dicium-cium.

“Biarlah mereka. Kita kan masih junior. Eh, apa kata kita beli aiskrim. Cuaca panas begini, sedap makan aiskrim Tropicana.” cadang Marissa. Selebihnya, Marissa ingin memujuk Fatimah dan mahu dia melupakan tragedi kena jerit dari dorm sebelah.

“Bagus juga cadangan kau.” Fatimah menerima usul Marissa. Marissa tersenyum. Senang sahaja untuk mengumpan Fatimah. Modalnya aiskrim Tropicana. Cepat benar moodnya berubah.

Marissa dan Fatimah menghampiri abang aiskrim. Kebiasaannya, sekitar jam 6 petang, abang aiskrim akan memarkir motorsikal diluar pagar sekolah.

Setelah mendapatkan aiskrim Tropicana, Marissa dan Fatimah duduk. Masing-masing senyap menikmati habuan masing-masing.

“Marissa, kau nampak tak bangunan lama tu?” Fatimah menunding jarinya ke arah bangunan itu. Warna asal bangunan tersebut kekuning-kuningan. Disebabkan bangunan itu telah lama terbiar, warna bangunan tersebut telah semakin pudar.

“Kenapa? Itu bangunan apa ya?” Marissa mengajukan soalan. Marissa memang tidak pernah ambil tahu mengenai bangunan tersebut. Sifatnya yang penakut menyebabkan dia tidak begitu mengambil pusing cerita turun temurun daripada pelajar senior.

“Itu sebenarnya istana singgah. Kalau tak silap aku, istana ini wujud semasa pemerintahan zaman Belanda. ” Fatimah mula bercerita. Ini agak menarik. Versi Fatimah agak berlainan dengan versi yang biasa didengari. Marissa memandang muka Fatimah. Memberi perhatian dengan versi yang bakal didengari.

“Istana itu katanya milik seorang putera dari kerajaan….”Fatimah terhenti seketika. Cuba mengingati kisah istana singgah. Mukanya berkerut-kerut cuba mengingat.

“Ah … kerajaan pasir berdegung!” Dihujung penceritaan terhenti dengan tawa Fatimah. Marissa agak berang. Spontan dia menepuk belakang Fatimah.

“Benda boleh buat lawak, buat apa nak serius.” Fatimah meredakan kemarahan Marissa yang tekun mendengar cerita dongengnya.

“Jom, Marissa. Kita masuk ke dalam Istana Kerajaan Pasir Berdengung. Aku pernah masuk sekali. Ikut Kak Chah.” Fatimah menarik tangan Marissa. Marissa hanya mengikuti Fatimah dari belakang.

Suasana di dalam Istana Kerajaan Pasir Berdengung sememangnya terlalu usang. Sekiranya istana ini dibaik pulih, sudah tentu ianya menjadi warisan sepanjang zaman yang menyimpan nilai sejarah yang tinggi. Usia istana ini mungkin mencecah lebih 100 tahun, menurut Fatimah. Istana ini mempunyai 2 tingkat dan mempunyai bumbung rata.  Di hadapan Marissa, tersergam tangga berkelok yang separuh usang. Marissa memegang susuran tangga. Berhati-hati memijak anak tangga. Mata Marissa meliar melihat bahagian atas istana. Belum sempat melangkah ke anak tangga, Marissa ditegur oleh satu suara.

“Gusti Putri Ratna Dewi?” Kedengaran suara garau lelaki menyapanya dari belakang. Marissa memusingkan badannya. Hatinya berkata-kata kehairanan dari manakah lelaki itu muncul. Sedangkan tadi, hanya dia dan Fatimah sahaja yang berada di situ ketika itu.

Sebaik sahaja Marissa memusingkan badan, serentak itu juga keadaan Istana Kerajaan Pasir Berdengung bertukar rupa. Marissa merasakan dia telah melalui transisi masa ke zaman Kesultanan Melayu Melaka. Istana yang menjadi olok-olokan tadi telah menjadi kenyataan. Seakan tidak percaya dengan keadaan itu. Digosoknya mata berkali-kali. Sambil mata Marissa meliar mencari Fatimah. Mana Fatimah? Seingat Marissa, Fatimah juga bersama-samanya masuk ke dalam istana.

Marissa bungkam seketika. Menelan air liur. Kepalanya ligat berfikir mencari modal untuk menjawab soalan lelaki yang berdiri dihadapannya. Di hadapan Marissa, berdiri seorang lelaki yang lengkap berpakaian tradisional persis seorang pentadbir negeri. Marissa tidak berganjak. Marissa sendiri terpaku dengan dirinya sendiri. Penampilan Marissa persis sang puteri Jawa.  Diatas kepala Marissa dihiasi dengan irah-irahan dan sumping. Kelat bahu yang diperbuat dari emas melambangkan Marissa adalah berketurunan raja. Rompi berwarna merah, bersampur kuning dan dilengkapi dengan jarik samparan dengan motip parang menyerlahkan keayuan Marissa sebagai  seorang puteri. Busur panah dipegang kemas. Di kerajaan baru ini, Marissa ialah seorang putri berdarah kesatria berketurunan raja. Kebolehan Gusti Putri Ratna Dewi bermain anak panah dan pedang tidak boleh dinafikan lagi. Kehebatan Ratna Dewi menjadi sebutan di Kerajaan Pasir Berdengung.

“Ya…akulah Gusti Putri Ratna Dewi. Aku mencari Tengku Mansoor Shah.” Pelik. Marissa menyebut nama yang tidak pernah dia ketahui sebelum ini. Seingat-ingat Marissa, dia hanya mengetahui nama Sultan Mansur Syah tetapi bukan Tengku Mansoor Shah. Sultan Mansur Syah merupakan antara penakluk di dalam Sejarah Melayu. Mungkinkah lelaki yang berada dihadapannya merupakan putera raja yang diceritakan oleh Fatimah? 

“Aku lah Tengku Mansoor. Apakah tujuanmu mencari aku, Ratna Dewi?” Tengku Mansoor mendekati Ratna Dewi. Ratna Dewi memandang Tengku Mansoor. Pada Tengku Mansoor ini sahajalah peluang yang dia ada untuk kembali ke pangkuan keluarga di Sinarbumi.  

“Tengku Mansoor, aku perlukan bantuan mu untuk menyelamatkan negeriku. Seluruh negeriku hampir ditawan oleh kerajaan Antah Dimana.” Perlahan-lahan air mata Ratna Dewi tumpah sambil menceritakan peperangan yang telah berlaku selama sepurnama lamanya. Kerinduan kepada seluruh keluarga dan rakyat jelata mendesak Ratna Dewi mendapatkan pertolongan dari kerajaan yang lebih kuat. 

“Baiklah, Ratna Dewi. Aku bersetuju membantumu. Kerajaan Sinarbumi pernah membantu Ayahandaku, semasa berperang dengan Inderapura. Aku akan membalas jasa Raja Sinarbumi kepada negeriku.” Tengku Mansoor membuat janji.

Peperangan telah berlaku diantara negeri Antah Dimana dan Pasir Berdengung. Kekuatan bala tentera Kerajaan Pasir Berdengung yang 2 kali ganda memaksa kerajaan Antah Dimana berundur dari menakluki negeri Sinarbumi. Kemenangan ini telah disambut oleh 2 kerajaan yang bersatu. Sebagai tanda berterima kasih kepada kerajaan Pasir Berdengung, Raja Sinarbumi telah menyerahkan puteri mereka, Gusti Putri Ratna Dewi untuk di kahwinkan dengan Tengku Mansoor Shah.

“Marissa….Marissa…..” nama Marissa diulang beberapa kali. Fatimah menyapu air bacaan yasin ke muka Marissa. Marissa masih lemah. Marissa telah terjatuh semasa menaiki tangga di istana Kerajaan Pasir Berdengung. Keadaan tangga yang usang menyebabkan Marissa hilang imbangan badan. Marissa terjatuh dan terus pengsan. Dan di alam yang satu itulah, Marissa dan Mansoor menjadi satu, berjuang untuk kebangkitan kerajaan baru, Karang Anyangan.

Gambar sekadar hiasan.
#julyblogpost
#july2019entries
#julylogpostchallenge

Certot: Misteri tandas sebelah

Marissa terjaga dari lena. Lenanya terganggu kerana Marissa terasa hendak buang air kecil. Kalau ditunggu esok pagi, memang Marissa tidak sanggup. Jam ditangan menunjukkan 3 pagi. Marissa mengejutkan Fatimah. Di goyang-goyang bahu Fatimah. Fatimah berkalih membelakangi Marissa.

“Fatimah, bangunlah. Teman aku pergi ke bilik air.” Marissa bercakap perlahan. Seakan berbisik. Bimbang suaranya akan mengganggu penghuni lain dorm G.

Fatimah masih tidak bangkit dari lenanya. Marissa sekali lagi mencuba nasib. Kali ini, Marissa menggerakkan bahu Fatimah dengan agak kuat.

“Marilah Tim. Teman aku” Marissa mengejutkan Fatimah sekali lagi. Fatimah dengan mamai, terus duduk dan akhirnya mula bangun dari tempat tidurnya. Melihatkan Fatimah mula berdiri, Marissa pun terus ke pintu. Marissa terburu-buru mengatur langkah. Mendahului Fatimah kerana tidak tertahan untuk ke tandas.

Marissa telah mendahului Fatimah tanpa menoleh ke belakang. Pintu tandas telah ditutup. Serentak itu juga, kedengaran pintu tandas sebelah juga telah ditutup. Setelah selesai urusan, Marissa keluar dari tandas. Marissa melihat tandas di sebelahnya masih tertutup. Marissa menunggu Fatimah keluar tandas. Setelah 10 minit telah berlalu, Marissa tidak sedap hati lalu mengetuk pintu. Bimbang rakannya tertidur di dalam tandas.

“ Tim, kau okay tak tu?” Senyap. Tiada bunyi. Marissa mengetuk lagi pintu. Pun masih tiada suara kedengaran. Dengan penuh debaran, Marissa cuba membuka pintu tandas. Berkunci. Marissa sudah mula cuak. Tiba-tiba, Marissa berasa seram sejuk. Dadanya semakin berombak dengan laju. Marissa meninggalkan tandas dengan langkah 1000. Marissa sedikit kemengahan. Tanpa menoleh kiri dan kanan, Marissa mempercepatkan lagi kelajuan langkahnya.

“Marissa…Marissa…” suara halus memanggil Marissa. Marissa tidak mempedulikan suara itu. Tegak bulu roma tengkuk Marissa. Marissa terasa dirinya seperti diikuti. Semakin laju langkahnya, semakin dekat suara itu dengan cuping telinga.

Marissa cepat-cepat membuka pintu bilik. Marissa agak terkejut kerana dia melihat Fatimah masih lena tidur. Cepat-cepat Marissa menarik selimut dan mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Akhirnya Marissa tertidur dalam ketakutan.

Keesokan paginya, Marissa berbual-bual dengan Fatimah. Dengan penuh debaran dengan 1000 pertanyaan, Marissa bertanya tentang kejadian pagi semalam.

“Tim, pagi tadi, kau teman aku pergi tandas, kan?” Sambil menarik dan mengemaskan cadar, Marissa mengajukan soalan kepada Fatimah. Fatimah yang sedang menggosok baju sekolah, berhenti menggosok dan memandang Marissa.

“Mana ada aku teman kau pergi tandas. Aku tidur lah. Aku letih sangat semalam. Sedar-sedar, sudah azan subuh.” jawab Fatimah. Fatimah menyambung kembali menggosok bajunya.

Marissa terdiam. Mengenangkan peristiwa itu, Marissa rasa tidak sedap hati. Perasaannya berperang mengatakan Fatimah mengikutnya ke tandas, tetapi dalam masa yang sama, Marissa mengiyakan apa yang Fatimah sampaikan. Memang tidak salah matanya melihat Fatimah sedang enak dibuai mimpi apabila sampai di bilik. Marissa menarik nafas dalam-dalam. Beristighfar dalam hati agar apa yang dialami lewat pagi semalam tidak berulang kembali. Biarlah dia sendiri yang tahu kisah seram itu, misteri tandas sebelah.

Gambar sekadar hiasan.

#julyblogposts

#july2019entries

#julyblogpostchallenge

Hadiah

“Miss, saya ada masalah” aku memandang si anak. Anak bujang yang seorang ini agak pemalu. Aku menilai dari segi luaran sahaja. Baru beberapa hari anak-anak ini mendaftar sebagai pelajar politeknik. Aku belum lagi dapat mengenali hati dan budinya. Aku mengesan si anak ini agak tidak begitu yakin dengan jalan yang dipilih. Kerisauan jelas tergambar di wajahnya.

“Apa tu masalahnya? Cuba cerita. Mana tahu, saya boleh bantu.” Aku menutur kata. Agak berhati-hati apabila bermain dengan psikologi.

“Saya ada masalah dengan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris saya tidak berapa bagus. Saya risau sebab nanti belajar semua dalam Bahasa Inggeris. Saya hendak cari kelas tuisyen”. Si anak mula bercerita mengenai masalahnya. Aku tersenyum. Masalah kecil rupanya. Peralihan pendidikan dari sekolah ke institusi pengajian tinggi merupakan fasa yang baru bagi mereka. Anak-anak masih baru dan belum boleh menyesuaikan diri dengan mode pengajaran yang agak berbeza.

“Ammir….Ammir cuba masuk kelas dulu. Jangan risau sebab kena belajar didalam Bahasa Inggeris.”

“Saya percaya semua pensyarah awak akan membantu. Bahasa Inggeris yang digunakan pun yang mudah sahaja. Inshaallah, awak mesti boleh buat”. Aku memujuk. Aku memberi jaminan bahawa pensyarah akan membantu di sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Kerisauan si anak terbit kerana medium pengajaran menggunakan Bahasa Inggeris.

“Jadi, saya tak perlu ambil kelas tuisyen?” tanya si anak. Meminta kepastian. Matanya sedikit bersinar berbanding tadi. Muka yang suram kelihatan agak ceria.

“Tidak perlu, Ammir. Masuk ke kelas dan belajar dahulu. Nanti, apabila sudah serasi dengan kelas, jumpa saya semula dan pada masa itu, baru kita putuskan.” Aku membuat kata putus. Bukan tidak mahu mendorong Ammir mengambil kelas tuisyen, tetapi aku berpendapat, selagi belum cuba, belum tahu keadaannya. Belajar dulu, rasai pengalaman, baru boleh nilaikan. Sekiranya perlu kelas tuisyen, barulah kita fikir solusi.

“Terima kasih, Miss. Terima kasih kerana bagi saya nasihat. Inshaallah, saya akan cuba.” Si anak berjanji dan berterima kasih dengan malu-malu. Aku faham, si anak agak malu dengan sedikit kekurangan yang dihadapi. Aku merasakan mungkin si anak agak tertekan dengan persaingan rakan sekelas. Tapi, itulah cabaran. Si anak kena lebih berusaha. Hendak maju, mana boleh duduk diam sahaja. Di era IT yang serba canggih ini, tidak sukar untuk memperbaiki diri sendiri. Kamus yang tebal tidak perlu diusung kesana sini. Semuanya ada dihujung jari. Kamus digital kan ada!

Itu adalah cerita 3 tahun yang lalu. Semuanya tidak mustahil, bukan? Si anak yang tidak begitu yakin pada awal pengajian, akhirnya telah pun bergraduasi. Si anak telah menjalani 3 tahun pendidikan diploma dengan baik sekali. Boleh aku katakan, ada peningkatan bagi setiap semester. Semester ke 4 dan 5 menunjukkan kematangan si anak sebagai pelajar senior. Si anak mula aktif dengan bidang keusahawanan. Walaupun agak terlewat, tetapi aku kira, itu bukanlah pengakhiran. Eksplorasi ilmu selagi boleh dan dapatkan dengan percuma. Minat didalam bidang keusahawanan membolehkan si anak mengembangkan bakat yang terpendam. Berkat bimbingan rakan pensyarah dan selaku mentor kepada anak-anakku, Cik Hjh Rabi’ah bt Seman dan Cik Rusmaini bt. Ramly melonjakkan kemampuan anak-anak ini diperingkat yang lebih tinggi. Terima kasih, sahabat. Anda hebat!

Tanggal 13 Julai 2019, si anak dan rakan-rakan lain telah pun bergraduasi. Namun begitu, si anak ini tidak dapat menghadirkan diri. Aku mendapat berita bahawa si anak sedang mengikuti kursus polis di Pulapol. Alhamdulillah. Walaupun si anak tidak naik ke pentas konvokesyen, namun, aku percaya, si anak akan lebih berjaya. Aku doakan si anak berjaya dengan dunia baru yang akan diharungi.

Tiada hadiah yang dapat aku berikan kepada semua. Hanya tulisan yang aku abadikan sebagai hadiah kenang-kenangan antara aku dan anak-anak. Tetapi, hadiah yang tidak ternilai bagi aku ialah melihat wajah-wajah gembira anak-anak di hari paling bersejarah dalam hidup mereka. Mungkin, ini yang pertama. Dan aku percaya, banyak lagi yang anak-anak ini mampu lakukan.

Untuk anak-anakku, selamat maju jaya. Bawalah kejayaan dimana anda berada. Jalani kehidupan dengan gembira. Paling utama, bahagiakan ibu bapa yang tercinta.

#julyblogposts #july2019entries #julyblogpostchallenge

Sahabat

Sahabat, hari ini, 19 Julai 2019 merupakan episod bahagia untuk kita yang bergelar pendidik. Di nobatkan Anugerah Pencapaian Akademik Terbaik Keseluruhan peringkat Jabatan Perdagangan memberikan kejutan kepada kita semua. Kerana sebelum ini, kita merupakan kelompok yang hanya memerhati piala pusingan silih berganti dikalangan mereka.

Sahabat, kita adalah minoriti. Kerana itu, kita sentiasa berusaha untuk berjuang. Walaupun kita sedikit, tetapi itulah kita. Semangat juang yang sama dengan yang lain. Demi sebuah amanah dan harapan.

Sahabat, bukan mudah untuk kita meletakkan kita sehingga ke tahap sebegini. Demi anak-anak kita, ada masa dan ketikanya, kita berubah karakter. Sekejap jadi mak, bapa, kakak, abang dan juga kawan. Bukan itu sahaja, demi mendidik anak-anak kita, semua cara kita guna, dari segi psikologi mahupun denda. Maafkan kita, anak-anak. Kadangkala, kita terpaksa cubit manja. Bukan kita tak sayangkan mereka. Setiap kesalahan mesti ada hukuman. Kalau kelas jam 8.00 pagi, anak-anak kita masuk 8.30 pagi. Nanti-nanti, sekiranya sudah bekerja, kita juga yang mendapat nama. Apakah yang kita telah lakukan untuk mendidik mereka? Mana disiplinnya?

Manalah kita semua tidak sakit kepala. Itu belum kira, ke rumah sewa, kita susuli juga. Bertanya khabar, nak tahu cerita. Tidak hadir ke kelas, kita tanya. Bukan sekali, malahan, mungkin dua tiga kali. Sakit ke? Tidur ke? Apa sebenarnya masalah anak-anak kita? Betapa kita kasihkan anak-anak kita sebenarnya. Mengambil berat tentang mereka walaupun itu bukannya anak kita. Walaupun begitu, kita tidak pernah membeza-bezakan mereka. Kerana anak orang itu, anak kita juga. Sayangnya kita, sama sahaja.

Demi anak-anak kita ini, demi melahirkan mereka yang bukan hanya berjaya dari segi akademik, kita juga mahu melahirkan anak-anak yang baik sahsiah peribadinya. Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Begitulah kita. Kasih kita semua ini tanpa syarat untuk anak-anak kita.

Sahabat, walaupun ada yang jauh dimata, namun sentiasa dekat dihati. Dek kerana tuntutan kerjaya, kita berpisah buat sementara. Untuk sahabat-sahabat lama, Surianie Mohd Som, Zainatunnisa bt Hj Sapaat, Mohd Rizam bin Ibrahim, Hafizah bt. Osman dan Mohd Hafizi bin Abd Latiff.

Sahabat, kita juga telah kehilangan permata buat selama-lamanya. Sahabat yang kita kasihi, meninggalkan kita didalam sejuta kenangan. Alfatihah untuk sahabat kita, Allahyarhamah Nazimah bt Bahrin dan juga Allahyarham Ahmad Fazli bin Mohd Khodri. Semoga sahabat-sahabat kita yang telah dijemput olehNya, sentiasa tenang di sana.

Sahabat, tetaplah bersabar dalam mendidik. Bukan mudah untuk menggalas amanah. Melihat anak-anak kita menerima sekeping sijil di akhir perjalanan mereka, cukup membuatkan kita semua bahagia. Semoga anak-anak kita sentiasa berjaya di bidang yang akan mereka pilih dan menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara.

Sahabat, semoga kalian dipermudahkan dalam usaha murni ini. Sahabat inilah yang susah senang bersama menggalas amanah – Mohd Razali bin Hasam, Nazila bt. Adip, Nurol Aleyzan bt. Ghazali, Halizah Alwi, Hafizah Hussin, Mohd Firdaus Mustakim b. Yahya dan Khairani bt. Arsyad. Semoga kalian sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan ilham yang berpanjangan. Demi anak-anak kita semua, anak-anak Diploma Pemasaran.

I love you 3000!

#julyblogposts #july2019entries

#julyblogpostchallenge

Zaitun

Apabila mendapat perkataan ‘zaitun’ sebagai perkataan pencetus idea, antara topik yang bermain-main difikiran saya ialah jenama bagi produk penjagaan diri dan juga minyak zaitun. Mungkin ada dikalangan anda masih ingat lagi rangkaian produk Zaitun yang sangat terkenal pada sekitar zaman 1980-1990an. Saya boleh simpulkan bahawa produk Zaitun merupakan jenama tempatan yang sangat berjaya pada masa itu. Sehingga sekarang, saya masih ingat lagi tagline produk Zaitun, ‘Gunakan tanpa was-was’. Pemilihan tagline yang tepat secara tidak langsung mengukuhkan lagi keyakinan pembeli terutamanya pengguna Islam.

Namun begitu, pada ruangan ini, saya tidak mahu menulis mengenai produk Zaitun dan bagaimana produk ini jatuh merudum didalam pasaran. Saya ingin menulis mengenai seorang seniwati veteran yang bernama Zaiton. Seniwati Zaiton telah dilahirkan pada 2 April 1937. Beliau merupakan salah seorang pelakon wanita yang popular dan berbakat pada sekitar tahun 1950an dan 1960an. Beliau berasal dari Changi, Singapura. Seniwati Zaiton merupakan antara Bintang Lagenda Malay Film Production, Studio Jalan Ampas, Singapura. Filem pertama yang dibintangi oleh Zaiton ialah pada 1955 melalui filem “Kipas Hikmat” yang telah ditayangkan pada 26 Februari 1955. Walaupun begitu, sebenarnya beliau telah bermula dengan filem “Abu Hassan Penchuri” tetapi filem tersebut telah ditayangkan pada 2 Mei 1955. Pada tahun itu juga, Zaiton telah diberikan peranan sebagai heroin kepada Yusof Latiff buat kali pertama didalam filem “Jubah Hitam”.

Terdapat 11 filem yang telah dibintangi oleh Zaiton sebelum tahun 1960an dan 16 buah filem sepanjang tahun 1960an. Di antara 16 buah filem pada tahun tersebut, 3 daripadanya merupakan filem arahan P. Ramlee iaitu Ali Baba Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ibu Mertua Ku. Filem Ibu Mertuaku merupakan sebuah filem terbaik arahan P.Ramlee pada tahun 1962. Zaiton yang telah mendukung watak Chombi didalam filem Ibu Mertuaku telah memberi sinar kehidupan baru kepada Kassim Selamat. Pada tahun 1957, Zaiton telah menerima anugerah untuk Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Asian Pasifik ke 3, Hong Kong melalui filem Hang Tuah. Filem terakhir yang dibintangi beliau ialah Raja Bersiong yang telah ditayangkan pada tahun 1968 arahan Jamil Sulong.

#julyblogposts #july2019entries #julypostblogchallenge

Malam di Insadong

“Nanti, lepas solat maghrib, kita keluar lagi ya.” Aku merancang untuk berjalan-jalan di sekitar Insadong. Peluang perlu di gunakan sepenuhnya apabila berada di negara orang. Lima hari empat malam harus dimanfaatkan sebaiknya!

“Okay, boleh je. Bila lagi nak menikmati suasana malam di Seoul?” Pijah memberi kata setuju. Selain kami berdua, eksplorasi malam akan disertai kenalan baru iaitu Piqot, Hajar dan Shariah. Walaupun penat seharian di Pulau Nami, kami mengambil keputusan untuk berjalan-jalan lagi. Aku dengan Pijah memang boleh dikategorikan kelompok insan kinestetik dan visual. Disebabkan persamaan ini, kami boleh menghabiskan masa dengan berjalan berjam-jam di pusat membeli-belah. Walaupun tiada tujuan utama, tetapi kami tetap gembira apabila dapat menghirup udara pasaraya.

Apabila semua orang sudah berkumpul di lobi hostel, kami mulakan perjalanan. Aku agak lega kerana eksplorasi santai ini bersama-sama Piqot, Hajar dan Shariah. Ini bukan apa. Aku dan Pijah memang gagal dalam mengingati kawasan dan jalan. Dalam aktiviti santai malam ini, kami memang sangat berharap, adik-adik yang baru dikenali dapat membawa kami menyusuri malam di Insadong.

Kami memasuki kedai-kedai ditepi jalan. Antara kedai pertama yang kami masuk ialah kedai cenderahati. Sungguh comel barang-barang di kedai itu. Aku hanya membandingkan harga. Tiada niat untuk membeli barang-barang comel. Harga mahal walhal aku boleh dapat di Malaysia dengan harga yang murah. Barang yang dijual pun bukanlah sesuatu yang unik. Agak tidak berbaloi untuk menabur duit di kedai ini.

Kami berjalan tanpa hala tuju yang nyata. Nama pun berjalan. Sekadar mencuci mata melihat kehidupan dan keindahan malam di Seoul. Kami melalui persimpangan jalan yang menjadi tempat makan masyarakat tempatan. Entah mana jalan kami lalui sehingga menjumpai tempat makan yang beroperasi di bahu jalan. Apa yang mereka makan pun aku tidak pasti. Dalam keadaan yang gelap, aku tidak pula perasan botol-botol hijau soju seperti didalam drama Korea.

Akhirnya, kami telah sampai ke kawasan membeli-belah. Kiri dan kanan kami ialah kedai. Nak pergi mana satu pun, kami belum tahu lagi. Suasana di kawasan kedai sekitar Insadong dihiasi dengan lampu-lampu berwarna warni. Kami membuat keputusan untuk berpecah menjadi dua kumpulan. Piqot dan Hajar. Manakala, aku, Pijah dan Shariah. Kami bertiga meneruskan pencarian kedai beg yang dikhabarkan murah oleh Fairus, ejen pelancongan kami dari Iwant2go2Korea. Kesemua beg yang dijual tidak mengira saiz dengan harga 10000 won. Kalau ditukarkan kepada nilai Ringgit Malaysia, harga sebuah beg ialah RM37 sahaja. Akhirnya, usaha mendatangkan hasil. Pijah membeli beg tangan. Aku pula tidak berminat untuk mencari beg tangan. Aku hanya membeli beg sandang belakang sebagai kenang-kenangan.

Usai membeli beg-beg yang berharga 10000 won, kami bertiga memasuki kedai serbaneka. Kedai ini boleh di gambarkan seperti kedai 7Eleven di Malaysia. Aku mengambil Banana Uyu atau dalam bahasa Melayu, Susu Pisang. Aku hanya minum perisa Banana Uyu yang asli. Boleh lah, sedap.

Cuaca malam semakin sejuk dan dingin. Dianggarkan suhu sekitar 16’c hingga 23’c di siang hari. Mungkin, suhu pada waktu malam sedikit menurun. Keadaan cuaca pula agak tidak menentu memandangkan waktu yang kami pilih untuk percutian merupakan waktu peralihan musim antara musim sejuk ke musim panas. Petang tadi, hujan turun sebaik sahaja kami tiba di Jongno Hostel.

Kami bertiga mula berjalan pulang ke hostel. Kebanyakan kedai mula menamatkan operasi perniagaan. Kami berbual-bual sehingga kami tidak pasti lagi dimana lokasi kami berada. Aduh…. kami sudah sesat. Perasaan cuak mula terbit dalam diri. Dan lebih malang lagi, kami bertiga tiada mempunyai akses internet. Akses internet hanya ada pada Piqot dan Hajar. Pada ketika itu, aku lihat semua bangunan kelihatan sama sahaja. Mana satu lorong ke hostel pun, aku tidak pasti. Aku sempat berfikir yang bukan-bukan. Tetapi, fikiran jahat itu aku segera matikan kerana teringat maklumat yang Fairus kongsikan petang tadi ialah Korea mempunyai kadar jenayah yang rendah. Tiada seorang umat pun ketika ini melainkan kami bertiga. Malam pula semakin sunyi dan keadaan semakin bertambah sejuk.

Dari kejauhan, tiba-tiba aku ternampak seorang wanita usia lewat 40-an. Tanpa berlengah lagi, aku mengejar wanita tersebut dan mula berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris. Wanita itu yang aku boleh bahasakan sebagai ahjumma (perempuan tua) itu memandang aku. Kemudian, ahjumma ini membalas pertanyaan aku dengan bahasa Korea. Tahulah kami, ahjumma ini tidak boleh berbahasa Inggeris. Kami cuba sedaya upaya menyebut Jongno Hostel. Muka ahjumma ini agak keliru dan berkerut. Berulang-ulang dia menyebut Jongno Hostel. Berfikir di mana letaknya hostel ini agaknya. Samaada dia tak tahu hostel kami atau sebutan Korea kami tidak berapa tepat. Namun begitu, ahjumma ini masih berusaha untuk membantu kami. Sedang kami berjalan mengikuti ahjumma tersebut, kami terjumpa pula seorang pakcik (ahjussi). Sebenarnya, kedua-dua mereka ini tidaklah begitu tua. Tetapi, didalam penulisan ini, senang aku menggambarkan pertolongan seorang wanita (ahjumma) dan lelaki (ahjussi) lewat usia 40-an. Ahjumma telah bertanya kepada ahjussi mengenai Jongno Hostel. Kami menunggu jawapan. Bersungguh-sungguh ahjussi ini menerangkan lokasi hostel. Entah benar atau tidak. Keadaan ahjussi pun ini aku kira separuh mabuk memandangkan mukanya agak sedikit kemerahan. Mungkin ahjussi ini baru saja minum soju, minuman beralkohol botol hijau.

Akhirnya, kami tekad mengambil keputusan untuk mencari jalan pulang sendiri memandangkan ahjumma sepertinya tidak tahu lokasi hostel kami. Kami mengucapkan kamsahamnida sebelum berpamitan dengan ahjumma cantik berbaju merah. Aku, Pijah dan Shariah berbincang seketika sebelum memulakan perjalanan.

“Eh, apa kata kita cari coffee shop. Kan selalunya ada wi-fi kat coffee shop.” Aku memberikan idea. Aku berharap teori aku betul. Kami pun meneruskan perjalanan mencari coffee shop. Yes, kami ternampak coffee shop. Segera kami menyambungkan talian wi-fi di telefon bimbit masing-masing. Alhamdulillah, syukur kami dapat menghubungi Piqot dan Hajar. Pada asalnya kami mahu menunggu sahaja Piqot dan Hajar datang mencari kami. Tetapi, berdasarkan penerangan Piqot mengenai lokasi hostel, kami membuat keputusan untuk mengikut tunjuk arah yang Piqot berikan. Kami pun bergegas berjalan. Akhirnya, kami telah menjumpai Jongno Hostel. Perasaan lega dan gembira di wajah masing-masing. Apabila kami meneliti jalan di sekitar hostel, rupa-rupanya kami telah terlajak sehingga ke jalan besar. Di sebabkan asyik bercerita, kami tidak perasan rupa-rupanya kami sudah melepasi kawasan hostel. Malam yang indah di Insadong, penuh memori. Walaupun pahit, tetapi tetap menjadi sebahagian kenangan. Perasaan cuak dan gembira bersatu pada satu malam di Seoul.

Sekadar hiasan. Gambar ini bukan di Insadong tapi di Garosu-gil.

#julyblogposts #july2019entries #julyblogpostchallenge

Coklat Susu

Adriana Sofea menghampiri adiknya, Aydan Arif dan mengambil tempat untuk duduk bersebelahannya. Aydan mengesot sedikit untuk memberi ruang kepada Adriana. Pangkin di bawah pokok rambutan kelihatan agak usang. Berkriuk sedikit bunyinya apabila Adriana melabuhkan punggungnya. Aydan melepaskan pandangan melihat ke langit biru. Sesekali hujung kakinya menguis daun-daun kering.

Aydan diam. Adriana juga diam. Masing-masing tenggelam dalam kebisuan. Adriana melirikkan mata. Mencari modal untuk memulakan bicara. Adriana berdehem kecil lalu menghentikan lamunan Aydan.

“Aydan, nah ambil ni.” Adriana menghulurkan sebungkus plastik putih 7E. Bungkusan bertukar tangan. Aydan membuka bungkusan plastik tersebut. Perasaannya tidaklah begitu teruja seperti selalu.

Susu sejuk full-cream Dutch Lady dan coklat Cadbury Dairy Milk. Makan coklat bersulamkan susu sejuk menjadi kesukaan Aydan sejak dari dulu.

“Aydan, sudah siap semua kelengkapan nak masuk universiti?” tanya Adriana lembut. Sejak beberapa hari ini, Aydan tidak ceria. Aydan banyak menyendiri dan kurang bercakap. Aydan menghitung hari sebelum dirinya terbang ke Seoul.

“Sudah kak Ary. Semuanya sudah disiapkan.” Pendek sahaja jawapan Aydan. Aydan mengoncangkan susu full-cream. Balutan coklat Cadbury di buka dengan berhati-hati. Dihulurkan coklat itu kepada Adriana.

“Kak Ary….” Aydan menghulurkan coklat Cadbury. Mereka sama-sama menikmati coklat dan susu. Ada orang cakap, coklat dapat menimbulkan rasa gembira. Namun, sebenarnya, bahan kimia di dalam coklat itu yang mewujudkan rasa gembira. Terdapat lebih dari 300 bahan kimia semulajadi terdapat dalam coklat dan sebahagian besar dari bahan kimia ini memberi kesan kepada otak manusia melalui pelepasan neurotransmitter tertentu. Neurotransmitter ini menghantar isyarat berulang alik antara neuron. Neurotransmitter tertentu ini akan mempengaruhi emosi dan rasa. Apabila kita makan coklat, ia akan mengeluarkan beberapa neurotransmitter yang memberi kesan positif kepada perasaan manusia iaitu perasaan gembira. Informasi mengenai coklat ini Adriana perolehi dari internet. Adriana mencari informasi bagi menghuraikan persoalan bagaimana coklat boleh mewujudkan perasaan gembira.

“Aydan, life is like a box of chocolates, you never know what you are gonna get,” bicara Adriana. Memetik kata-kata di dalam filem Forest Gump lakonan Tom Hanks. Adriana menarik tangan Aydan. Memegang erat tangan adiknya. Aydan membiarkan Adriana mengenggam tangannya. Sekejapnya masa berlalu. Aydan Ariff, merupakan satu-satunya adik lelaki Adriana yang dulu masih hingusan kini sudah pun meniti dewasa. Arghhh…. cepat benar masa berlalu. Tibalah masa untuk melepaskan adiknya merantau demi menimba ilmu didalam bidang perubatan yang sangat diminati.

“Hidup ni seperti coklat. Kita takkan tahu apa yang terjadi sehinggalah kita mengharungi kehidupan ini. Adriana berhenti seketika. Menarik nafas. Dan menyambung kembali kata-katanya.

“Begitu juga coklat, kekadang kita tidak tahu, ada coklat yang pahit. Tapi, kita kena terus makan dan menelannya.”

“Dan didalam kehidupan kita, mungkin apa yang kita lalui ada detik pahit dan manis. Semua yang berlaku, kita perlu lalui dengan hati yang tabah.”

Aydan hanya mengangguk kepala. Berat rasa hati untuk meninggalkan keluarga. Itu pilihannya setelah mengkaji pelbagai sudut. Pilihannya ialah untuk melanjutkan pelajaran ke Kyung Hee University di dalam bidang perubatan. Sebelum meninggalkan bumi Malaysia, dia telah mengajak Adriana balik ke kampung untuk melawat Nek Wan.

“Aydan, Kak Ary tahu, Aydan tengah sedih untuk meninggalkan kami. Tetapi, Kak Ary percaya Aydan akan dapat mengejar cita-cita Aydan. Kadangkala, kita perlukan pengorbanan untuk mencipta kejayaan.”

Aydan hanya dapat membalas kata-kata kakaknya di dalam hati. Semua kata-kata Adriana di simpan dalam kotak ingatan. Semoga perjalanan kehidupan Aydan di rantau orang akan sentiasa di permudahkan. Doanya sendiri. Aydan bertekad dan berjanji sendiri untuk membawa kejayaan yang akan di cipta di bumi Seoul. Seoul, kau tunggu aku datang!

#julyblogposts #july2019entries #julyblogpostchallenge